بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Semasa aku membaca buku Majalah Solusi, aku tertarik dengan tajuk yang ku baca tentang memburu kemanisan iman yang di tulis oleh Ustaz Pahrol yang merupakan ketua editor majalah Solusi. Dalam artikelnya, ustaz menggariskan tentang kualiti hati yang perlu kita miliki untuk mendapatkan kemanisan iman, bagaimana caranya untuk kita menggapai kemanisan iman dalam diri dan bagaimana mengekalkan kemanisan iman itu di dalam diri agar ia tidak tawar dan hambar....
Kenapa kita perlu memburu kemanisan iman itu? Kemanisan iman itu bukanlah boleh didapati sepertimana kita dapati barang murah di pasar lambak! Senang di perolehi dan murah pula! Tanpa mujahadah diri yang berterusan kita sukar memperolehinya. Kita sepatutnya menjadikan perkara ini prioriti utama dalam hidup kita. Kita hidup di dunia ini dalam iman, kita mati dalam iman bahkan kita dimasukkan ke syurga pun dengan iman !
Pentingnya kita miliki kemanisan iman ini, supaya apa yang di rasai dijiwa inilah yang akan mencorakkan tindakan kita. Bila terasa manisnya dan lazatnya iman, maka kita akan mencorakkan diri dan kehidupan kita sesuai dengan iman di jiwa; kita akan rasa sesuatu yang tidak kena jika kita buat sesuatu dalam hidup ini bukan atas dasar iman. Pahit dan gelisahnya di jiwa apabila iman menjauh dari diri kita !
Apabila kemanisan dan kelazatan iman telah bertapak di jiwa, tiada lagi rasa penat, sukar, bosan, malas dan rugi dalam melaksanakan tuntutan Allah SWT. Ia mengatasi segala sesuatu di dunia ini! Kemanisan ynag dirasai di jiwa dan tidak dapat digambar dan dihuraikan dengan kata-kata! Hati akan rasa bahagia bila melaksanakan ketaatan dan meninggalkan kemungkaran. Jiwanya reda dan pasrah diatas segala ketentuan dan kehendakNya baik berupa rahmat yang datang mahupun musibah yang melanda.
Inilah keajaibannya seorang Mukmin dalam menempuh hidup ini. Bila ia mendapat nikmat dia bersyukur tapi bila mendapat musibah dia bersabar. Dia dapat menukarkan segala sesuatu yang susah dan sukar itu menjadi kebaikan pada dirinya. Dia dapat menerima segala cabaran dengan jiwa yang tenang dan hati yang penuh dengan rasa kemanisan iman.
Hati orang yang beriman itu sangat mencintai Allah; maka Allah juga akan mencintainya. Bila Allah mencintai sesaorang, maka akan dipermudahkan segala baginya. Dalam satu hadith Qudsi yang bermaksud...
" Jika Allah mencintai seorang hamba, maka Allah akan berfirman, " Wahai Jibrail, Aku mencintai sorang hamba maka cintailah dia." Kemudian Jibrail memanggil penduduk langit dan berkata, " Sesungguhnya Allah SWT mencintai si fulan maka cintailah dia. (Riwayat Ahmad dari Abu Hurairah)..
Bagaimana pula cara memburu kemanisan iman ini? Cukup ke setakat amalan biasa yang kita selalu buat hari-hari? Kita sama-sama lah teliti hadith Rasul dari Anas bin Malik ra. tentang hakikat jiwa yang merasai kemanisan iman ini....
" Tiga perkara apabila terdapat pada diri sesaorang, ia merasai kemanisan iman iaitu sesiapa yang cintanya kepada Allah dan Rasul melebihi segalanya, mencintai sesaorang kerana Allah dan benci kembali kepada kekufuran seperti bencinya dicampakkan ke api neraka.".
Ketiga-tiga ciri tersebut bila dimiliki oleh sesaorang.....ia akan dapat merasai manis dan lazatnya iman. Namun untuk mendapatkannya perlu melalui perjuangan dan perjalanan yang sukar. Kemanisan iman itu adalah kemuncak pendakian dalam melalui perjalanan yang sukar ini. Ia perlu melepasi tahap-tahap perjuangan bermula dengan tahap kepahitan dan kepedihan, dilkuti dengan tahap kebiasaan dan akhirnya tahap kemanisan.
Tahap awal kepahitan dan kepedihan hati untuk membuang segala rawsib jahiliyyah, kesukaan yang tidak syarak, berusaha untuk taat dan patuh dalam segala ketaatan dan menjauhi segala larangan dengan sungguh-sungguh. Jiwa rasa amat terseksa dan kesabaran yang sungguh tinggi untuk kekal dalam ketaatan dan menjauhi maksiat. Inilah dia, hati yang ikhlas ingin kembali kepada Allah walaupun perit !
Tahap kedua iaitu apabila telah membiasakan diri untuk taat dan patuh dengan konsisten, keperitan dan kepedihan di peringkat awal itu akan hilang dengan izin Allah. Ia akan jadi satu kebiasaan yang mudah untuk melakukannya. Bermula dengan cara membetulkan yang biasa, diikuti dengan membiasakan yang betul , Alhamdulillah , sesudah kepayahan itu pasti datangnya kemudahan pula !
Akhirnya ibadah yang telah dibiasakan secara konsisten, lama-kelamaan akan merasai kemanisan melaksanakannya. Sehingga dirinya akan berusaha lagi untuk menambahkan lagi ibadahnya pada Allah.....dimana kemanisan melakukan ibadah itu mengatasi segala kemanisan di dunia ini. Seperti kata Saidina Abu Bakar,' Sesiapa yang telah mengecapi sebahagian dari kemurnian cinta pada Allah SWT, maka hal itu akan menyibukkannya dari mencintai dunia dan ia mengasingkan diri daripada seluruh cinta manusia."
Begitulah besarnya pengaruh iman dan kemanisan yang dirasai oleh jiwa.....hanya mereka yang merasainya yang mengetahui hakikat kelazatan yang sebenarnya tidak boleh dijual beli dengan wang ringgit !
Jadi apa yang harus kita lakukan sekarang? Kembalikan jiwa kita pada Allah, kenali Allah dengan hakikat pengenalan yang sebenarnya, didik iman sehingga ia mendasari jiwa dan dan bermujahadah diri supaya apa yang diperkatakan dan diperbuat selaras dengan kehendak iman, dan perlunya kita beristiqamah di atas jalan mujahadah diri ini!
Bak kata pepatah genggam bara api biar jadi arang ! Jadi gengamlah dengan kuat iman ini jangan biarkan ia tergelincir dari diri.......dan sentiasalah hubungankan hati dengan Allah dengan doa kita supaya Allah membantu diri kita untuk terus berada di atas jalanNya yang lurus !.. Tanpa bimbingan dan taufik dariNya...kita tak mampu buat apa-apa pun !!
No comments:
Post a Comment