Sebarang copy, pemindahan maklumat, tukar dalam apa-apa bentuk sama ada elektronik,gambar,rakaman dan sebagainya tanpa kebenaran daripada admin adalah HALAL.Ilmu itu hak Allah.

Wednesday, August 10, 2011

Wahai Hawa, mudahnya mengaut pahala Ramadhan

سم الله الرحمن الرحيم



Alhamdulillah, syukur pada Allah kerana masih diberi kesempatan untuk bernafas hingga Ramadhan, merasai kemanisan beribadah, mengecapi nikmat bulan yang penuh barakah. Rugi kiranya jika semua ni disia-siakan walau sesaat. Allah…ingatan buat kita bersama. Mudahan Ramadhan ini mendidik kita menjadi hambaNya yang lebih taat dan bertaqwa.

Ana yakin, anda sudah cukup maklum dengan kelebihan yang terdapat dalam Ramadhan yang penuh barakah ini. Bagaikan tak terkejar dalam pelarian, tak tergapai dalam perhentian, tak terungkap dek kata-kata, tak terbayang dek minda betapa bertuahnya mereka yang berjaya mengecap manisnya Ramadhan dan berjaya memperoleh ijazah taqwa di pengakhirannya. Wanita juga tak terkecuali merasai semua nikmat ni, tak patut ketinggalan meraih ijazah taqwa yang dilaung-laungkan sejak dari awal Ramadhan bakal menjelang tiba. Sungguh, wanita sebenarnya telah diberikan peluang seluas-luasnya oleh Allah untuk turut sama mengaut pahala sebanyak-banyaknya di bulan yang mulia ini.

Sesungguhnya bulan Ramadhan telah datang mengunjungi kamu. Bulan penuh keberkatan. Allah S.W.T telah mewajibkan kamu berpuasa dalam bulan ini. Semua pintu syurga dibuka dan semua pintu neraka ditutup. Syaitan-syaitan ditambat. Di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Sesiapa yang dihalang dari kebaikannya maka sesungguhnya dia benar-benar terhalang.” (maksud sepotong hadith Nabi S.A.W. yang diriwayatkan oleh An-Nasa’i daripada Abu Hurairah r.a)

Telah Allah buka pintu-pintu syurgaNya, meraikan kedatangan tetamu Ramadhan. Telah Allah buka seluas-luasnya pahala yang berlipat kali ganda buat mereka yang beramal hanya untukNya. Sayang kalau ada dalam kalangan kita yang ketinggalan. Sayang, kalau ada di antara kita yang tidak mengambil kesempatan ini walau dengan apa cara sekalipun untuk menikmati kemanisan ini bersama. Kaum Hawa  juga tak terkecuali untuk menerima jemputan Allah ini.

“Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, baginya ganjaran seumpama pahala bagi orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa itu).” (HR Al-Baihaqi & Ibn Khuzaimah)

Mudahnya Hawa merebut peluang untuk turut sama mengejar pahala dan amal ibadah di bulan yang penuh barakah ni. Siapa kata, cuti yang Allah kurniakan buat kita, hanya peluang untuk kita berehat-rehat? Siapa kata, cuti yang diberi ini hanya sekadar mampu untuk lidah dan jiwa berdoa dan berzikir? Siapa bilang, cuti yang istimewa ini menyekat tindakan-tindakan dalam beramal sepertimana mereka yang tidak memperoleh cuti.

Inilah hebatnya Allah yang Maha Hebat menciptakan Hawa. Inilah istimewanya Hawa, dalam rehat juga dia berpeluang merebut pahala yang sama nilainya dengan mereka yang tidak diberi cuti. Bagaimana agaknya kita berpeluang ‘bercuti’ dan pada masa yang sama ‘bekerja’ mengejar pahala di bulan Ramadhan ini.
Kembali pada maksud hadith di atas, ‘menyediakan makanan bagi orang yang berpuasa’, siapakah golongan ini? Adakah hanya mereka yang menghulurkan sumbangan melalui masjid-masjid atau surau-surau? Adakah hanya mereka yang mengadakan majlis-majlis amal program berbuka puasa? Tidak, bukan hanya mereka…dari hadith ini, ana nampak kitalah yang dimaksudkan. Kita, ana dan anda…Kaum Hawa yang Allah ciptakan sangat hebat mampu bangun sahur bersama menyediakan juadah sahur buat keluarga, dan bila petangnya menyinsing lengan menyediakan juadah berbuka pula. Menyediakan makanan pun Allah bagi ganjaran pahala sama tanpa sedikit pun kurang dengan pahala orang yang berpuasa. Subhanallah, hebat kan !
Bertambah-tambah lagi pahala buat Hawa apabila dalam cutinya dia turut bangun menyeru ahli keluarga meningkatkan ibadah di sepertiga malam hari, dalam bercuti kudratnya bekerja menyokong ahli-ahli rumah untuk mengejar pahala ibadah yang Allah kurniakan di segenap pelosok ruang yang ada. Lebih hebat, jika ‘cuti’nya itu memotivasikan lagi mereka yang sedia ‘bekerja’ setiap saat untuk tidak lemah dan lelah dalam merebut pahala Ramadhan hingga ke pengakhiran.
Siapakah Hawa itu?
Kita, anda dan ana.

Mampukah ?

InshaAllah kita, anda dan ana mampu. Mudahnya kita, anda dan anaa mengaut pahala Ramadhan dan mudah juga untuk kita, anda dan saya menyiakannya. Pilihan di tangan masing-masing, selagi Ramadhan masih ada manfaatkan sebaik-baiknya.

No comments:

Post a Comment